Nur Fadzli (kiri), ibunya, Azura dan Thananjayan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pembantu klinik bersama ibunya dan rakan wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Tertuduh, G. Thananjayan, 41; Nur Fadzlin Mohamed Salim, 27; dan ibunya Azura Abdul Latiff, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa telah melakukan rompakan serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 32 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pukul 5.30 pagi di sebuah kondominium di Batu Ferringhi di sini, 13 April lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam A. Mahesh.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000, namun Mahesh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya berusia 27 tahun bekerja sebagai pembantu klinik, ibunya tidak mempunyai pekerjaan, manakala seorang lagi bekerja di premis kitar semula.

Mahesh berkata, ketiga-tiga mereka menetap di negeri ini dan tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mendekati mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Jun depan bagi serahan dokumen.

Difahamkan, mangsa merupakan kekasih kepada tertuduh wanita berusia 27 tahun itu, manakala lelaki yang turut dituduh bersama adalah rakan kepada ibunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast