Dr. Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya peniaga makanan termasuk restoran bukan Islam yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol memiliki sijil halal perlu dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira keseimbangan antara kepentingan pengguna, kelangsungan perniagaan serta reputasi negara.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata, sistem pensijilan halal di Malaysia telah lama menjadi rujukan dunia dan simbol kepercayaan serta integriti dalam industri makanan dan minuman.

Menurut beliau, bagi majoriti pengguna Muslim, sijil halal bukan sekadar label komersial tetapi jaminan keyakinan terhadap aspek kebersihan, keselamatan serta pematuhan kepada prinsip syariah.

“Antara rasional utama yang sering diketengahkan bagi menyokong peluasan pensijilan halal ialah perlindungan hak pengguna melalui maklumat yang jelas dan pengesahan sahih mengenai status halal sesuatu produk atau premis makanan.

“Selain itu, pensijilan halal membantu mewujudkan standardisasi dan ketelusan dalam industri makanan, sekali gus mengurangkan kekeliruan atau penyalahgunaan istilah ‘halal’ oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pengurusan pensijilan halal yang tersusun dan berwibawa juga mampu mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai antara peneraju global dalam industri halal serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengguna antarabangsa terhadap produk tempatan.

Bagaimanapun, Dr. Amini Amir mengakui terdapat kebimbangan dalam kalangan peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana berhubung kos pematuhan, proses dokumentasi serta keperluan pentadbiran yang berpotensi menambah beban operasi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang cadangan dasar berkaitan pensijilan halal perlu dilaksanakan secara inklusif dengan memberi tempoh peralihan munasabah, menyediakan khidmat bimbingan serta memastikan prosedur yang telus dan tidak membebankan.

“Dialog berterusan antara pihak berkuasa, pengusaha industri dan wakil masyarakat juga penting bagi memastikan pelaksanaan dasar ini lebih praktikal dan diterima baik,” ujarnya.

Beliau menambah, matlamat utama dalam isu tersebut bukan untuk menghukum mana-mana pihak, sebaliknya mencari titik keseimbangan antara kepentingan pengguna, kelangsungan perniagaan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Pendekatan berasaskan dialog, keadilan dan kepentingan bersama akan memastikan dasar yang digubal bukan sahaja praktikal, malah diterima semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast