Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) meminta kerajaan memberi pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar terdiri daripada kalangan wartawan, jurugambar serta juruvideo, untuk terus menerima kuota 300 liter petrol RON95 seperti sebelum ini.

GKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, langkah itu akan membantu pengamal media dalam menyempurnakan serta melancarkan kerja-kerja liputan mereka di lapangan.

Selain itu, tambahnya, langkah tersebut juga dapat meringankan beban ditanggung golongan tersebut terutama dalam mendepani situasi kenaikan kos yang cukup mencabar ketika ini.

“Keputusan kerajaan menghadkan kuota BUDI RON95 kepada 200 liter sebulan berbanding kuota sebelum ini sebanyak 300 liter, mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasnya di lapangan.

“GKMM menerima banyak keluhan dari pengamal media khususnya yang bertugas di negeri-negeri, yang perlu menempuh jarak perjalanan jauh serta perlu berulang alik ke lokasi liputan setiap hari, menyebabkan kuota 200 liter yang diterima habis lebih awal sebelum sampai tempoh kuota berakhir pada setiap hujung bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Kelab Media Johor (KMJ); Kelab Media Putrajaya; Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA); Kelab Media Elit Kedah (KMEK); Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS).

Selain itu, Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT); Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS); Persatuan Wartawan Perlis (PWP); Kelab Media Perak (KMP) dan Sabah Journalist Association (SJA).

Turut serta Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA); Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dan Kelab Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).

Terdahulu, menurut kenyataan itu, GKMM memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan hingga kini kesan ketegangan di Asia Barat.

Sehubungan itu, katanya, GKMM menyambut baik usaha dan komitmen kerajaan meneruskan pemberian subsidi bersasar kepada rakyat Malaysia terutama menerusi kuota 200 liter di bawah BUDI RON95, RM2.15 seliter bagi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, di samping bantuan menerusi BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu.

“GKMM juga menyedari peningkatan kos dan belanja subsidi bahan bakar yang ditanggung kerajaan bagi menjamin rakyat terus menikmati harga berpatutan atau lebih rendah, sungguhpun harga pasarannya sudah menyaksikan peningkatkan begitu ketara dalam tempoh tersingkat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast