KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan insiden bot yang membawa kira-kira 250 hingga 280 migran disyaki warganegara Bangladesh dan Myanmar yang dilaporkan karam di Laut Andaman baru-baru ini bukan di dalam perairan negara.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kejadian tersebut sekali gus tidak berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab operasi Maritim Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung insiden berkenaan dan turut memohon kerjasama maklumat risikan daripada negara jiran sekiranya terdapat sebarang perkembangan mengenai insiden tersebut.
Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, sebarang operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi insiden di laut adalah tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian, selaras dengan peraturan serta konvensyen maritim antarabangsa yang sedang berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat laporan berkaitan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara, Maritim Malaysia akan segera mengatur gerak aset bagi melaksanakan CARILAMAT di kawasan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Maritim Negeri Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Op GUARD setakat ini.
Namun, jelasnya, sebagai langkah mitigasi dan kesiapsiagaan, aset-aset Maritim Malaysia telah ditempatkan dan ditugaskan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi bagi tujuan pemantauan rapi.
Ujarnya, pemantauan turut menggunakan aset radar RSS Tg. Kemarung bagi mengesan sebarang maklumat awal di perairan sempadan negara agar ia dapat ditangani dengan segera.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan serta menjejaskan persepsi terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negara.
“Maritim Malaysia komited memperkukuh rondaan serta pemantauan di seluruh perairan negara bagi memastikan keselamatan maritim sentiasa terpelihara dan sebarang insiden kecemasan dalam kawasan tanggungjawab dapat ditangani secara pantas serta berkesan,” katanya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, sebuah bot yang membawa lebih 250 migran Rohingya dan Bangladesh tanpa dokumen tenggelam di Laut Andaman selepas berlepas dari kawasan pantai Cox’s Bazar baru-baru ini.
Kejadian itu terbongkar selepas sebuah kapal Bangladesh menyelamatkan sembilan individu dari Lautan Hindi pada 9 April dan menyerahkan mereka kepada polis Bangladesh, kata Ketua Balai Teknaf Saiful Islam.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan jumlah tepat penumpang di atas bot itu, hanya menyatakan jumlah yang terlibat “ramai”. – MalaysiaGazette
















