Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan, menyampaikan kenyataan dalam sidang media khas bersama Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) berhubung isu tular melibatkan dakwaan pelanggaran SOP keselamatan radiasi dan kewujudan kluster kanser dalam kalangan kakitangan PPUM.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi (#ReformIPT) bersama gerakan mahasiswa menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan berhubung dakwaan kecuaian pengendalian radiasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam sidang media hari ini, Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), Brendon Gan berkata, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan kakitangan, pesakit dan orang awam.

#ReformIPT turut mempersoalkan ketelusan laporan Bahagian Kawalan Radiasi dan Perubatan (BKRP) yang didakwa mempunyai percanggahan dengan penjelasan yang diberikan sebelum ini.

“Situasi ini menimbulkan keraguan terhadap integriti siasatan serta kemungkinan berlaku manipulasi data,” ujarnya.

Sehubungan itu, #ReformIPT mengemukakan beberapa tuntutan utama termasuk pelaksanaan siasatan oleh badan bebas, audit menyeluruh terhadap semua peralatan radiasi seperti PET-CT dan CT scan serta pemantauan dos radiasi secara berkala terhadap staf terlibat.

Tambahnya, mereka juga menuntut perlindungan lebih ketat kepada pekerja, pesakit dan pelawat, termasuk penyediaan peralatan perlindungan diri serta pengasingan kawasan berisiko tinggi.

Selain itu, pihaknya menegaskan pengurusan PPUM perlu dipertanggungjawabkan sekiranya didapati melanggar Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

“Mereka juga perlu memberi penjelasan terbuka kepada semua pihak terlibat, termasuk mangsa dan orang awam,” katanya.

Dalam masa sama, gerakan itu turut menuntut supaya rawatan, sokongan kesihatan serta pampasan diberikan kepada individu yang terjejas akibat pendedahan radiasi.

#ReformIPT turut menggesa satu pertemuan rasmi diadakan bersama BKRP dan pihak berkepentingan bagi membincangkan isu berkenaan secara terbuka.

Tegasnya, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, #ReformIPT tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan protes bagi menuntut keadilan dan ketelusan. – MalaysiaGazette

Bekas kakitangan akui Kluster Kanser di PPUM, isu keselamatan radiasi dipersoal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast