KUALA LUMPUR – Malaysia Corruption Watch (MCW) hari ini tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan salahguna dana dan kemungkinan wujud penyelewengan kewangan melibatkan syarikat tersenarai, NexG Bhd.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan pendedahan berkaitan transaksi kewangan yang didakwa berlaku ketika Victor Chin Boon Long memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat berkenaan.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius dakwaan membabitkan jumlah keseluruhan RM303.7 juta dalam tempoh kira-kira 10 bulan antara November 2024 hingga September 2025.
Menurut beliau, beberapa transaksi yang dilaksanakan dalam tempoh tersebut menimbulkan tanda tanya besar dari sudut tadbir urus korporat serta kemungkinan konflik kepentingan.
“Saya memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap perkara ini kerana berlakunya banyak transaksi-transaksi yang ‘mencurigakan’ antaranya pinjaman melalui MMR Capital, pelaburan dalam Classita dan pembelian saham MMAG daripada pihak berkaitan.
“Ia telah menimbulkan persoalan dari segi tadbir urus dan potensi konflik kepentingan, di samping berlaku dalam tempoh syarikat mencatatkan kerugian nilai saksama dan kerugian bersih yang ketara,” katanya.
Dalam masa sama, MCW turut menggesa Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanipah Nordin supaya tidak berdiam diri dan tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung isu yang sedang diperkatakan.
Isu membabitkan Victor Chin sebelum ini turut menjadi perhatian umum apabila Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan secara terbuka melabelkan ahli perniagaan itu sebagai ‘syaitan korporat’ ketika menafikan kaitannya dengan dakwaan skandal ‘Mafia Korporat’.
Ramanan menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai cubaan mengalih fokus daripada siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
Kontroversi berkenaan turut dikaitkan dengan urus niaga saham MMAG Holdings Bhd apabila isteri Victor, Chan Swee Ying dilaporkan melupuskan 9.53 peratus pegangan bersamaan 220 juta saham bernilai RM88.22 juta kepada NexG Bhd.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pihak berkuasa sedang menjejaki Victor susulan dakwaan penglibatannya dalam sindiket pengambilalihan paksa syarikat, sekali gus menambah tekanan terhadap siasatan yang sedang berjalan. — MalaysiaGazette
















