JASIN – Seorang lelaki dan kekasihnya yang tular memandu bas ekspres membawa 27 penumpang sambil melakukan aksi meriba masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 dan enam bulan, serta didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu, Ahad lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhi hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, di Mahkamah Majistret Jasin sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 telah memandu kenderaan tersebut dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.
Perbuatan itu dilakukan pada di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 7.30 petang 12 April 2026.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Tertuduh, Nur Adila Najwa turut berdepan pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun di dalam bas Sri Maju Ekspres bernombor pendaftaran sama sehingga mengganggu ketenteraman mangsa pada kira-kira pukul 6 petang hari dan tempat yang sama.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Noor Syazwani Mohamad Yusri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Arif Fahmi dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan telah diberhentikan kerja selain perlu menyara ibu serta dua lagi adiknya.
Tertuduh juga sudah insaf selain kejadian itu tidak membabitkan kerugian kepada orang lain apabila kesemua penumpang diturunkan dengan selamat ke destinasi mereka.
Nur Adila Najwa yang turut dilihat menangis pula merayu hukuman rendah kerana baru berusia 21 tahun selain mendapat tawaran menyambung pelajaran hasil keputusan cemerlang SPM 8A 2B.
Tertuduh juga memberitahu mahkamah dia dibesarkan oleh datuknya sejak kecil sehingga berusia 19 tahun sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur.
Mohd Asri dalam hujah pemberatannya bagaimanapun mahu mahkamah mengambil kira perbuatan yang amat serius kerana melibatkan aspek keselamatan jalan raya serta nyawa orang awam.
Hujahnya, ketika kejadian terdapat 27 penumpang dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya sama sekali tidak boleh diterima walaupun tiada kejadian buruk berlaku.
Selain itu, katanya, kejadian itu turut tular di media sosial dan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat, khususnya pengguna pengangkutan awam.
Mohd Asri turut memaklumkan lesen memandu tertuduh Arif Fahmi telah tamat tempoh pada 1 April 2026, iaitu sebelum kejadian pada 12 April lalu dan memandu tanpa lesen ketika kejadian.
Justeru, ujarnya, hukuman berat perlu dikenakan sebagai mesej jelas kepada masyarakat agar aspek keselamatan jalan raya tidak diabaikan.
Majistret Mazana kemudian mengarahkan Arif Fahmi dan Nur Adila Najwa Ilham masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan enam bulan serta didenda RM5,000 bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Pasangan kekasih itu dikenakan tambahan penjara selama dua bulan jika gagal bayar denda selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.
Nur Adila turut dikenakan denda RM100 atau 14 hari penjara jika gagal bayar bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

















Bila bekerja dgn nafsu tanpa menggunakan akal yg waras ..sudah terjawab..hanya menunggu keputusan yg di rumah pula..Amat bertepatan dgn peribahasa SUDAH JATUH TERTIMPA TANGGA