KENYATAAN media P. Shandrsegar berhubung isu pelajar mencuci tandas.

GEORGE TOWN – Cadangan mewajibkan murid sekolah mencuci tandas secara berkala perlu diteliti semula agar pelaksanaannya lebih bersifat mendidik dan tidak menyimpang daripada peranan utama institusi pendidikan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, P. Shandrsegar berkata, sebarang pelaksanaan jadual mencuci tandas dalam kalangan murid haruslah bertujuan memupuk nilai kebersihan, tanggungjawab dan disiplin, bukannya menggantikan peranan pekerja pembersihan sedia ada.

Menurutnya, fokus utama murid ketika berada di sekolah adalah untuk menuntut ilmu serta membangunkan potensi diri ke arah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan membina masa depan.

“Fungsi utama institusi pendidikan adalah menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif supaya murid dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap akademik dan pembangunan diri.

“Justeru, tanggungjawab rutin seperti pembersihan tandas secara kerap dan berjadual tidak seharusnya mengganggu fokus tersebut, sebaliknya perlu dilaksanakan secara seimbang dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, aktiviti gotong-royong secara berkala seperti sebulan sekali masih wajar diteruskan sebagai medium membentuk nilai kerjasama dalam kalangan murid.

“Pendekatan ini lebih sesuai kerana ia bersifat pendidikan dan tidak membebankan, berbanding pelaksanaan tugas pembersihan tandas secara kerap yang boleh menimbulkan persoalan dari segi keutamaan pengurusan sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kerja-kerja pembersihan fasiliti memerlukan pengurusan khusus serta tenaga kerja terlatih, sebagaimana dilaksanakan di pelbagai premis kerajaan dan kemudahan awam.

“Perkhidmatan pembersihan profesional digunakan di pejabat kerajaan, jabatan awam serta kemudahan seperti pengangkutan awam bagi memastikan tahap kebersihan yang konsisten dan selamat.

“Oleh itu, sekolah juga sewajarnya dilengkapi dengan perkhidmatan pembersihan yang mencukupi bagi menjamin keselesaan serta kesejahteraan murid.

“Kerajaan juga disaran memperkukuh pemantauan terhadap prestasi pekerja pembersihan di sekolah bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap memuaskan, jika mereka gagal tindakan tegas seperti pertukaran pekerja atau kontraktor perlu dilaksanakan segera,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa pendekatan seimbang yang menekankan pendidikan nilai tanpa mengabaikan keperluan perkhidmatan profesional adalah lebih sesuai dalam memastikan kebersihan sekolah terus terjaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast