Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib.

KUALA LUMPURNaib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menerima Malaysian Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang kepimpinan pendidikan tinggi.

Anugerah tersebut disampaikan sempena 9th Malaysian Education & Learning Summit 2026 di The Majestic Hotel Kuala Lumpur di sini, semalam.

Program berkenaan dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dengan kerjasama Malaysian Association of Private Colleges and Universities (MAPCU) serta National Association of Private Educational Institutions (NAPEI).

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Rusmini Ku Ahmad.

Pengiktirafan itu diberikan atas peranan beliau dalam memperkukuh hala tuju institusi, memacu kecemerlangan akademik serta menyokong pembangunan pendidikan secara menyeluruh, termasuk melalui pendekatan kepimpinan inklusif dan inovatif.

Menurut Shahrin, kepimpinan dalam pendidikan tinggi perlu melangkaui tanggungjawab pentadbiran semata-mata.

“Kepimpinan dalam pendidikan tinggi adalah tentang mencipta impak yang melangkaui universiti, termasuk melahirkan individu yang berdaya tahan, beretika dan bersedia menyumbang kepada masyarakat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UiTM hari ini.

Di bawah kepimpinan beliau, UiTM terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara universiti awam terbesar di negara ini dengan memberi penekanan kepada tadbir urus, pembangunan bakat serta akses pendidikan tinggi yang inklusif.

Sementara itu, UiTM dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kepimpinan, tadbir urus serta impak institusi dalam pembangunan pendidikan negara.

Anugerah Malaysian Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award merupakan pengiktirafan kepada pemimpin pendidikan yang menunjukkan sumbangan signifikan dalam pembangunan sektor pendidikan, termasuk aspek inovasi, kepimpinan inklusif serta pembangunan bakat masa hadapan.

UiTM turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kepimpinan yang menyokong kemajuan, inovasi dan transformasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast