JOHOR BAHRU – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan peruntukan tambahan RM31.9 juta pada tahun ini menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan berkenaan bagi memastikan Johor kekal sebagai peneraju sektor pertanian negara.
“Peruntukan ini akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan 26 program dan projek strategik merentasi subsektor pertanian, penternakan dan perikanan, berdasarkan cadangan yang telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak KPKM.
“Jumlah peruntukan ini menunjukkan peningkatan berbanding 2025 iaitu RM23.4 juta sekali gus mencerminkan keyakinan pihak kementerian terhadap potensi serta keupayaan sektor pertanian Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tambahan peruntukan itu diyakini akan menyokong dan memperluas lagi pelaksanaan inisiatif sedia ada bagi pembangunan sektor pertanian di Johor.
Katanya, kerajaan Johor terus memberi keutamaan tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian dan agromakanan sebagai teras kepada kesejahteraan Bangsa Johor serta pemacu ekonomi negeri selaras dengan Agenda Maju Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu memberitahu, usaha berterusan dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif strategik dalam meningkat dan mengembangkan sektor pertanian.
Jelasnya, ini termasuk memperkasa para pengusaha menerusi penggunaan teknologi moden terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti hasil.
“Kerajaan Negeri Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada KPKM atas kelulusan peruntukan ini serta memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap program atau projek ini dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Untuk rekod, menerusi Belanjawan Johor 2026 yang dibentangkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sektor pertanian diberi penekanan sebagai antara fokus strategik pembangunan negeri.
Peruntukan melebihi RM40 juta melibatkan 25 inisiatif utama mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem pertanian Johor, merangkumi aspek pengeluaran, pemodenan teknologi, penyelidikan, pemasaran serta kebajikan petani, penternak dan nelayan. – MalaysiaGazette
















