Ibu mangsa Nur Fathin Liyana Zulkifli (tudung merah).

KUALA LUMPUR – Tangisan seorang ibu memecah kesunyian Mahkamah Sesyen di sini, ketika beliau membacakan kenyataan impak mangsa, sebelum dua pengasuh dipenjara setahun selepas mengaku bersalah mendera dua bayi di sebuah taska di Cheras.

Nur Fathin Liyana Zulkifli, 30, tidak mampu menahan sebak sehingga terpaksa berhenti seketika ketika menyampaikan kenyataan di hadapan mahkamah.

Dalam nada tersekat-sekat, dia berkongsi perjalanan sukar untuk mendapatkan zuriat apabila menunggu hampir empat tahun dan melalui keguguran sebanyak empat kali sebelum dikurniakan anak itu.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia berjanji untuk menyayangi dan melindungi anaknya, namun kejadian yang berlaku meninggalkan kesan mendalam serta trauma berpanjangan, termasuk kesukaran untuk mempercayai sesiapa menjaga anak selepas ini.

Merujuk kepada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia berkata, hatinya ‘hancur’ apabila melihat perlakuan kejam terhadap bayi berkenaan, termasuk dicampak, ditolak, ditekap dengan bantal dan dilayan secara kasar oleh pengasuh.

Menurutnya, perubahan ketara turut dilihat selepas kejadian itu apabila anaknya menjadi mudah terkejut, takut kepada orang sekeliling serta bunyi bising.

Dalam prosiding sama, Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Perada Randai dari Sarawak dan Yella Prissillia dari Indonesia selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

Ketika hukuman itu dijatuhkan, suspek hanya menundukkan kepala sambil sesekali mengelap air mata.

Mengikut pertuduhan, Perada didakwa menampar pipi serta memukul kepala seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan, manakala Yella mencubit kaki seorang bayi lelaki, menutup muka mangsa dengan bantal serta memaksa bayi itu minum susu.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah taska di Cheras pada 15 Disember 2025.

Sebelum hukuman dijatuhkan, kedua-dua tertuduh memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas khususnya ibu bapa mangsa, selain menyatakan kekesalan terhadap perbuatan mereka serta memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang.

Mereka turut memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tindakan menyerah diri kepada polis.

Bagaimanapun, Adiba Iman Hassan berhujah kes tersebut amat serius memandangkan mangsa adalah bayi berusia enam bulan yang tidak berdaya dan tidak mampu mempertahankan diri.

Menurutnya, mahkamah perlu mengambil kira kesan bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga kepada ibu bapa seperti yang dizahirkan dalam kenyataan impak mangsa.

“Kesannya bukan sekadar jangka pendek, tetapi berpotensi berlanjutan dalam jangka masa panjang melibatkan perkembangan emosi, fizikal dan psikologi mangsa,” hujah beliau.

Tambahnya, kejadian itu turut memberi tekanan emosi berterusan kepada ibu bapa yang terpaksa berdepan trauma, ketakutan dan keresahan.

Pendakwaan turut menegaskan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan, selain menekankan keperluan hukuman tegas demi kepentingan awam.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikenakan dengan menegaskan denda semata-mata tidak mencukupi bagi mencerminkan keseriusan kesalahan tersebut.

Dalam kenyataannya, Nur Fathin Liyana turut mempersoalkan bagaimana seorang wanita yang juga seorang ibu boleh melakukan perbuatan sedemikian terhadap seorang bayi.

Beliau menegaskan kehadirannya di mahkamah bukan sahaja untuk anaknya, tetapi juga bagi melindungi kanak-kanak lain daripada menjadi mangsa kepada individu yang tidak amanah.

“Tiada hukuman mampu memadamkan trauma kami, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran bahawa keselamatan bayi tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Jason Wee bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak ibu mangsa dalam prosiding berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast