GEORGE TOWN – Seramai tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Persiaran Karpal Singh di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang berlaku pada 10 April lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada dendam lama berebut teman wanita. Setakat ini seramai tujuh suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya hari ini.
Tambahnya, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis kini menunggu arahan lanjut.
Terdahulu tular video berdurasi lebih satu minit memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di sebuah pusat hiburan. – MalaysiaGazette















