Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

KUALA LUMPUR — Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan kononnya fasiliti imbasan Positron Emission Tomography-Computed Tomography (PET-CT) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendedahkan kakitangan dan pesakit kepada risiko radiasi berbahaya.

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media yang memetik seorang bekas juru X-ray mendakwa berlaku pelanggaran serius prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan warga kerja dan pesakit.

Dalam kenyataan media hari ini, UM memaklumkan pihaknya mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan, termasuk isu diagnosis penyakit kanser dalam kalangan kakitangan, namun menegaskan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kerja sentiasa menjadi keutamaan.

Menurut kenyataan itu, dakwaan yang mengaitkan fasiliti PET-CT dengan risiko radiasi berbahaya adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Operasi imbasan PET-CT dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat. Tahap pendedahan radiasi adalah mengikut standard yang ditetapkan dan terkawal,” jelas kenyataan tersebut.

UM turut memaklumkan semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi bagi memantau tahap pendedahan masing-masing secara berterusan.

“Rekod rasmi menunjukkan dedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos yang diwartakan serta pemeriksaan kesihatan berkala dijalankan mengikut jadual ditetapkan,” kata UM lagi.

Dalam masa sama, pihak pengurusan menegaskan PPUM mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Program Perlindungan Sinaran serta Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) termasuk peraturan-peraturan berkaitan perlindungan sinaran keselamatan asas dan pengurusan sisa radioaktif.

Tambah kenyataan itu, pengurusan sisa radioaktif dilaksanakan dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan pada Oktober 2025 mendapati tiada pelanggaran prosedur serta pematuhan penuh terhadap peraturan ditetapkan.

“PPUM sentiasa bersedia untuk diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap semua peraturan dan piawaian keselamatan… serta menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan keresahan awam,” menurut kenyataan itu lagi. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast