Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO di Melaka malam ini.

MELAKA – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Melaka malam ini memutuskan untuk menerima kembali Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin (KJ) untuk menyertai semula parti semula di bawah gagasan Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti turut bersetuju untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana 6,252 ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

Menurut beliau, keputusan tersebut selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti untuk kembali tanpa syarat.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

“Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk Hishammuddin, KJ, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO bahagian dan cawangan seluruh Malaysia.

“Ini semua nama-nama yang telah pun dibawa ke Jawatankuasa Rumah bangsa yang dipengerusikan oleh (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Jadi Jawatankuasa Rumah Bangsa angkat kepada MKT tadi sebab dari segi perlembagaannya, semua ini memang kena melalui Majlis Tertinggi.

“Tadi (mesyuarat) Majlis Tertinggi menurunkan kuasanya kepada Jawatan Kuasa Rumah Bangsa agar perkara ini boleh dipercepat dan dipermudahkan,” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Mesyuarat MKT malam ini dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi juga berkata, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Beliau berkata, MKT juga mengambil maklum cabaran peningkatan harga minyak dan tekanan inflasi global termasuk kesan konflik di Iran, yang memberi impak kepada rakyat.

“MKT menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan,” tambahnya.

Selain itu, mesyuarat pada malam ini turut memberikan kebenaran kepada sayap-sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid.

“Ia termasuklah atau dengan gabungan antara kehadiran secara fizikal dan secara atas talian khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast