Pemandu lori lelaki warga tempatan berusia bawah 30 tahun yang cuba melarikan diri berjaya dicekup anggota bertugas. Gambar: Ihsan KPDN.

KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menggagalkan cubaan penyelewengan lebih 3,400 liter diesel di sebuah stesen minyak sekitar Pandamaran, awal pagi tadi, dengan nilai rampasan melebihi RM100,000.

Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dilakukan hasil rondaan anggota penguat kuasa yang mengesan sebuah lori jenis bonded dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi bahan api diesel.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam  Kechek berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, lori tersebut membawa enam unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang mengandungi diesel disyaki untuk diseleweng.

Dalam kejadian itu kata beliau, pemandu lori lelaki warga tempatan berusia bawah 30 tahun cuba melarikan diri bersama kenderaan terbabit, namun cubaan tersebut berjaya digagalkan oleh anggota bertugas.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi memiliki dan membawa barang kawalan tersebut.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen sah. Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama kata beliau, pihak stesen minyak turut diambil tindakan dan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen yang sah.

Menurutnya lagi, nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan dianggarkan mencecah RM20,000, manakala lori serta bahan api telah disita dan disimpan sebagai barang kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Hanizam menegaskan, pihaknya mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negeri dengan menggerakkan tujuh pejabat termasuk di Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Sepang, Kajang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

Langkah itu bertujuan katanya, bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus, teratur dan sampai kepada golongan sasar, selain mengekang sebarang cubaan manipulasi subsidi negara.

“KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Tindakan tegas akan diambil termasuk cadangan menggantung atau membatalkan kemudahan Fleet Card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast