KUALA LUMPUR – Desakan agar bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada politik terus memuncak apabila sekumpulan aktivis hadir ke pejabatnya di sini hari ini bagi menyerahkan memorandum buat kali kedua.
Kumpulan berkenaan diketuai aktivis politik, Faizan Mohd Nor yang bersama beberapa penyokong tampil dengan mesej jelas mendesak Rafizi meletakkan jawatan.
Turut hadir pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong.
Faizan berkata, kehadiran mereka kali ini susulan memorandum pertama yang sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Ini kali kedua kami datang. Kami mahu beliau mengambil tanggungjawab dan berundur sahaja,” katanya kepada media di sini hari ini.
Menurut Faizan, tindakan itu bukan bersifat peribadi sebaliknya dibuat atas dasar kepentingan politik dan hala tuju negara.
“Kami berpandangan beliau (Rafizi) telah gagal sebagai ahli politik, wakil rakyat Parlimen Pandan dan juga ketika memegang jawatan dalam kerajaan sebelum ini.
“Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada keyakinan rakyat, malah menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi apabila dasar serta pendekatan yang dibawa tidak memberi hasil seperti diharapkan.
“Apabila keyakinan terhadap kepimpinan semakin merosot, ia memberi kesan rantaian termasuk kepada pelabur, perniagaan dan rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Tambahnya, langkah berundur dilihat sebagai jalan terbaik bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih diyakini.
“Jadi, langkah terbaik adalah untuk beliau bersara demi memastikan landskap politik lebih stabil dan memberi keyakinan semula kepada rakyat serta pasaran,” katanya.
Terdahulu, kumpulan sama pernah hadir ke pejabat Invoke Solutions milik Rafizi di Sungai Besi dekat sini bagi menyampaikan memorandum pertama dengan tuntutan sama. -MalaysiaGazette
















