KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa memberikan penjelasan telus berhubung keputusan untuk terus menggunakan sistem pengurusan pekerja asing yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), walaupun syarikat itu dikaitkan dengan individu yang terpalit kontroversi antarabangsa.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kewajaran kerajaan berurus niaga dengan pihak yang mempunyai rekod dakwaan serius dengan merujuk kepada individu bernama Aminul Islam yang didakwa menjadi tulang belakang syarikat tersebut.
“Aminul Islam bukannya orang baru dalam radar pihak berkuasa.
“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada tahun 2024 pernah mengesahkan Malaysia menerima permohonan daripada Bangladesh supaya Aminul Islam dan seorang lagi individu bernama Ruhul Amin ditahan atau diekstradisi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, permohonan ekstradisi itu dipercayai berkaitan dengan dakwaan serius melibatkan sistem pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia.
“Alih-alih dua hari lepas Menteri Sumber Manusia (Kesuma) Datuk Sri R Ramanan sendiri mengesahkan kerajaan tiada isu atau tiada masalah untuk menggunakan sistem pengurusan pekerja asing yang dibangunkan Bestinet jika ia diluluskan oleh Kabinet.
“Eh, takde orang lain lagikah kerajaan nak berurus niaga sehingga memilih individu yang ada kontroversi seperti ini?” katanya lagi.
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas turut mempersoalkan sama ada terdapat kepentingan peribadi dalam kalangan anggota pentadbiran sehingga sanggup mengekalkan kerjasama dengan syarikat berkenaan.
“Atau… ada menteri kerajaan sendiri mahu berniaga?
“Janganlah jual negara walaupun kamu sedar kamu akan kalah dalam pilihan raya.
“Jangan ambil kesempatan atau ambil mana yang sempat,” tegasnya.
Beliau turut memberikan peringatan keras agar sejarah tidak berulang dengan merujuk kepada risiko tindakan undang-undang yang mungkin dihadapi oleh pemimpin jika berlaku salah guna kuasa.
“Jangan nanti akan ada pula bekas Perdana Menteri Malaysia ke penjara selepas tewas pilihan raya,” katanya lagi.
Setakat ini, pihak kementerian masih belum memberikan maklum balas rasmi berhubung teguran yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut. – MalaysiaGazette















