KULAI – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal ditunggang kemalangan dengan kereta dan pacuan empat roda di kilometer 25.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pukul 3 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha, sebuah kereta jenis Proton dan sebuah pikap jenis Ford.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki Singapura yang berusia 31 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas di tengah jalan.
“Kemudian datang kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang berada di laluannya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut motosikal tersebut masuk ke lorong kanan lalu dilanggar pikap dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun.
Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507.
Tambah beliau, boleh juga hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MalaysiaGazette
Lelaki Singapura maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan, Kulai, hari ini















