Mesyuarat yang diadakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membincangkan masalah gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April lalu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April lalu berpunca daripada gangguan bekalan elektrik.

Menurut MOT, insiden itu berlaku pukul 4.54 petang apabila sistem Gas Insulated Switchgear (GIS) 132kV di pencawang Bukit Raja mengalami gangguan sekali gus menyebabkan penurunan voltan yang menjejaskan operasi KLIA.

Gangguan tersebut mengakibatkan kegagalan pengawal sistem BHS dan menyebabkan sistem pengendalian bagasi terhenti dan ia melibatkan proses bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan.

“Meskipun disokong sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), enam unit UPS turut terjejas sekali gus mendedahkan kelemahan dari segi ketahanan sistem,” menurut kenyataan itu.

Dalam tempoh antara 5 petang hingga 10.30 malam, sebanyak 23,769 bagasi diproses dengan 1,061 bagasi dilaporkan tidak dihantar bersama penerbangan (shortshipped) dan 120 lagi dikenal pasti sebagai kehilangan semasa ketibaan.

Tambahnya, sebahagian besar bagasi terlibat telah berjaya diserahkan kepada pemilik manakala selebihnya masih dalam proses akhir pengambilan.

Menurut MOT, jadual penerbangan bagaimanapun tidak terjejas dan tiada pembatalan atau kelewatan dilaporkan susulan insiden tersebut.

Ujarnya, pelan kesinambungan perniagaan (BCP) telah diaktifkan namun skala gangguan melebihi jangkaan sedia ada selain mendedahkan cabaran dari segi koordinasi operasi dan keupayaan pemantauan sistem secara masa nyata.

“Sebagai langkah segera, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersama rakan syarikat penerbangan melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan operasi dan mengurangkan kesulitan kepada penumpang,” katanya.

Sehubungan itu, MOT mengarahkan penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur pengendalian bagasi di KLIA serta akan memantau rapi pelaksanaannya.

Kementerian itu turut memaklumkan satu nota Kabinet berhubung insiden berkenaan akan dibentangkan pada 22 April ini manakala pihak pengurusan MAHB diarahkan mengemukakan laporan kemajuan setiap minggu.

Dalam masa sama, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan operasi kembali stabil serta mematuhi standard keselamatan dan perkhidmatan yang ditetapkan.

“MOT memberi jaminan langkah proaktif sedang dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian berulang dan memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan tertinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gangguan bagasi KLIA bukan insiden terpencil – Takiyuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast