Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memandang serius gangguan terbaharu melibatkan sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menyebabkan kelewatan serta kesulitan kepada penumpang.

Setiausaha agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebahagian penumpang dilaporkan terpaksa menunggu beberapa jam untuk mendapatkan bagasi masing-masing susulan insiden tersebut.

Menurut beliau, sebagai pintu masuk utama negara, kegagalan operasi seperti itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebolehpercayaan, kesiapsiagaan dan mutu pengurusan infrastruktur kritikal pengangkutan awam negara.

“Insiden ini menambah kepada senarai gangguan berulang melibatkan pengangkutan utama di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pengguna turut berdepan gangguan perkhidmatan rel bandar termasuk LRT Kelana Jaya Line, MRT Putrajaya Line serta beberapa gangguan teknikal lain yang menyebabkan kelewatan atau penggantungan sementara perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, beberapa penumpang pesawat mendakwa berlaku kelewatan luar biasa dalam urusan pengambilan bagasi di KLIA.

Ada pihak mendakwa penumpang yang menaiki pesawat semalam terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk bagasi mereka keluar di balai ketibaan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, apabila gangguan berlaku merentasi pelbagai mod pengangkutan sama ada di lapangan terbang, sistem rel bandar mahupun operasi pengangkutan berkaitan, ia menunjukkan wujud cabaran lebih besar berkaitan pengurusan operasi, standard penyelenggaraan, daya tahan sistem serta keberkesanan pelan kontingensi.

“Keadaan ini tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kelemahan sistemik yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta pendekatan menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, infrastruktur pengangkutan awam merupakan aset kritikal negara yang perlu beroperasi secara konsisten, cekap dan boleh dipercayai, lebih-lebih lagi KLIA sebagai hab pengangkutan antarabangsa utama serta pintu masuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan negara.

Sehubungan itu, PN menggesa Kementerian Pengangkutan memberi penjelasan telus dan menyeluruh berhubung masalah yang berlaku termasuk mendedahkan punca sebenar kegagalan, keberkesanan rejim penyelenggaraan, status kerja naik taraf sistem serta keberkesanan pelan kontingensi sedia ada.

Takiyuddin menegaskan, aspek kebertanggungjawaban juga perlu didedahkan sekiranya wujud kelemahan, kecuaian atau kegagalan pengurusan yang menyumbang kepada insiden berkenaan selain orang ramai berhak mendapat jaminan bahawa langkah pembetulan sedang dan akan dilaksanakan secara tegas serta berkesan.

Beliau berkata, walaupun Menteri Pengangkutan dilaporkan telah memanggil mesyuarat tergempar susulan insiden di KLIA itu, isu tersebut tidak boleh dilihat secara terpisah.

Ia sebaliknya perlu ditangani sebagai cabaran sistemik melibatkan pelbagai mod pengangkutan dengan pelan pemulihan dan penambahbaikan menyeluruh serta bersepadu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengadakan mesyuarat tergempar bersama semua agensi berkaitan hari ini, susulan gangguan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di KLIA.

Mesyuarat itu akan meneliti secara menyeluruh prosedur operasi standard sedia ada khususnya dalam mengurus insiden kerosakan di lapangan terbang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast