PUTRAJAYA – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025) mendedahkan peningkatan ketara warga emas yang tinggal bersendirian kepada 18.8 peratus, naik tiga kali ganda berbanding 6.3 peratus dalam kajian sama pada 2018.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tinjauan sama turut menunjukkan 61.3 peratus daripada golongan itu masih mempunyai tahap sokongan sosial yang tinggi.
“Dengan populasi warga emas kini mencecah 4.1 juta orang dan hampir satu perlima tinggal bersendirian, kekangan pengangkutan menjadi hambatan utama untuk mereka mendapatkan rawatan kesihatan secara konsisten.
“Ia bukan sekadar isu logistik, tetapi faktor kritikal yang menjejaskan kualiti hidup dan keselamatan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Dapatan NHMS 2025 di sini hari ini.
Menurut Dr Dzulkefly, cabaran kedua melibatkan tekanan berat yang dipikul penjaga apabila satu daripada tiga dilaporkan menanggung beban fizikal, emosi dan kewangan yang signifikan.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan hanya 40 peratus rakyat mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencukupi untuk hari tua.
“Dilema ekonomi ini memaksa keluarga mendahulukan keperluan asas sehingga aspek penjagaan kesihatan terpaksa diketepikan,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, laporan NHMS 2025 bukan sekadar statistik sebaliknya mencerminkan realiti kehidupan warga emas serta menjadi panduan strategik kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Data ini adalah kompas moral dan strategik dalam memantau Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023–2030 yang sedang dilaksanakan.
“Malaysia dijangka mencapai status negara menua menjelang 2036, dengan lebih 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas. Kepantasan ini antara yang terpantas di dunia dan kita tidak mempunyai masa yang mewah.
“Kita perlu bertindak sekarang,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, daripada segi kesihatan mental, kadar kemurungan dalam kalangan warga emas menunjukkan penurunan kepada 8.0 peratus berbanding 11.2 peratus pada 2018 selain kebergantungan fizikal bagi aktiviti kehidupan harian turut menunjukkan trend menurun.
“Namun hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini dikategorikan sebagai menua secara sejahtera merangkumi aspek sosial, kognitif, psikologi dan fizikal,” katanya.
Dalam masa sama, Dr Dzulkefly berkata, beban penyakit tidak berjangkit (NCD) meningkat ketara apabila 73 peratus warga emas menghidap hipertensi, 76 peratus kolesterol tinggi dan 39 peratus diabetes.
Sebanyak 68 peratus mempunyai sekurang-kurangnya dua penyakit kronik, manakala 30 peratus menghidap ketiga-tiga penyakit tersebut.
“Tinjauan itu juga mendapati 30.6 peratus warga emas tidak aktif secara fizikal, menyumbang kepada 45 peratus mengalami sarkopenia, manakala 60 peratus lagi berisiko mengalami kerapuhan fizikal (frailti),” katanya. – MalaysiaGazette
















