Tangkap layar dari video yang tular.

ALOR GAJAH – Polis sudah menahan pemandu bas ekspres yang tular Khamis lalu yang memaparkan aksinya memandu secara berbahaya menggunakan sebelah tangan ketika membawa penumpang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Trafik Alor Gajah hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar.

“Lelaki berusia 53 tahun itu kemudian ditahan dan akan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah sementara mendapatkan permohonan reman esok.

“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya kepada media di sini hari ini.

Pada 16 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu pemandu bas yang tular videonya memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan mabuk ketika perbuatannya itu dipercayai dirakamkan penumpang bas berkenaan.

Rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

Siasatan awal mendapati video tersebut mula tular sekitar jam 1.05 tengah hari Khamis lalu melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial.

Video yang tular turut disertakan dengan keterangan ‘Pemandu Bas “Mabuk” Siap Maki Hamun Penumpang Bas Lepas Kantoi Buang Tin Minuman Arak. Bas Menuju Dari Johor Bahru Menghala Kuala Lumpur.’

Bas ekspres berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru dan lokasi kejadian di sekitar Kilometer 196.1 arah selatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast