ALOR GAJAH – Pemandu bas ekspres yang tular memandu dengan hanya sebelah tangan dan dipercayai berada dalam keadaan ‘khayal’, disahkan positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, selain keputusan ujian air kencing positif bahan terlarang, lelaki berusia 53 tahun itu juga memaklumkan mengambil dadah berkenaan sebelum memulakan pemanduan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 15 April 2026 kira-kira jam 3.50 pagi semasa bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Johor Bahru.
“Siasatan dilakukan selepas tular berkaitan kejadian yang dikesan pada jam 1.05 tengah hari 16 April lalu sebelum suspek menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Alor Gajah jam 12.10 tengah hari tadi.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek hari ini mendapati lelaki tempatan berusia 53 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di siin malam ini.
Tambahnya suspek ditangkap untuk permohonan reman esok di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi membantu siasatan di bawah dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
ARTIKEL BERKAITAN
Pada 16 April lalu, MalaysiaGazette melaporkan polis sedang memburu pemandu bas yang tular videonya memandu sebelah tangan dan didakwa dalam keadaan khayal ketika perbuatannya itu dipercayai dirakamkan penumpang bas berkenaan.
Rakaman video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan pemandu bas terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
Video tersebut kemudian tular melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat mengenai tahap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















