KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) terus mengorak langkah apabila memeterai kerjasama strategik bersama Malaysian Amateur Radio Transmitters’ Society (MARTS) bagi memperkasakan bidang komunikasi radio amatur dalam kalangan belia.
PPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu menunjukkan langkah penting dalam memperkasa pendidikan bukan formal serta kesiapsiagaan komunikasi dalam kalangan ahli pengakap dan masyarakat.
“MoU ini bertujuan menyediakan rangka kerja kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mempromosikan, membangunkan serta menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan radio amatur dan komunikasi di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, PPM dan MARTS akan berganding bahu dalam memperkasakan inisiatif pendidikan bukan formal yang melibatkan latihan teknikal komunikasi, operasi radio amatur serta sokongan dalam situasi kecemasan dan bencana.
“Antara bidang kerjasama utama termasuk pembangunan radio amatur dan komunikasi, latihan serta pembangunan kapasiti, penganjuran acara bersama dan penglibatan komuniti, selain pengiktirafan bersama serta penjenamaan organisasi,” katanya.
Kenyataan itu menambah, dalam aspek pembangunan radio amatur, kedua-dua pihak akan mempromosikan kesedaran dan penyertaan dalam kalangan ahli pengakap serta orang awam di samping memudah cara laluan untuk mendapatkan lesen radio amatur serta memperkenalkan aktiviti tersebut di sekolah dan kumpulan pengakap di seluruh negara.
“Dari segi latihan dan pembangunan kapasiti pula, pelbagai program latihan bersama akan dilaksanakan termasuk perkongsian kepakaran teknikal, pendidikan sistem komunikasi serta latihan berkaitan protokol komunikasi kecemasan yang mematuhi keperluan kawal selia semasa.
“Kerjasama ini turut melibatkan penganjuran aktiviti bersama seperti Jamboree on the Air (JOTA), latihan lapangan, demonstrasi dan program komuniti bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan komunikasi dalam kesiapsiagaan bencana,” ujar kenyataan itu.
MoU itu ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr Mohamad Mukhyuddin Sarwani dengan disaksikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti, manakala Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin bertindak sebagai pemerhati pemeteraian.
Sementara itu, bagi MARTS, MoU itu ditandatangani Presidenya, Ir Mohd Aris Bernawi disaksikan Setiausaha MARTS, Sion Chow Qi Chao, manakala Timbalan Presiden MARTS, Zanirul Akhmal Zanirun bertindak sebagai pemerhati.
Kerjasama strategik itu dijangka memberi impak besar dalam memperkasa kemahiran komunikasi, meningkatkan kesiapsiagaan bencana serta melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – MalaysiaGazette
















