Produk jenama di bawah Global Petcare termasuk Evocat dan Cat Master yang dipertingkat akan diedarkan melalui platform runcit sedia ada seperti Cat Supermarket.

MELAKA – Di sebalik keprihatinan pemilik kucing terhadap aspek nutrisi dan keselamatan makanan, satu penyelidikan sains kini membuka ruang kepada pilihan yang lebih diyakini dan berkualiti di pasaran.

Usaha itu digerakkan apabila Global Petcare Holdings Sdn. Bhd. mencatat sejarah sebagai syarikat pertama negara menjalinkan kerjasama penyelidikan makanan kucing secara komprehensif bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengasas Global Petcare Holdings, Datuk Chew Chert Fong berkata, inisiatif selama tiga tahun dengan sokongan geran RM230,000 itu menzahirkan komitmen kukuh dalam memajukan industri makanan haiwan peliharaan tempatan.

“Projek diterajui Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT), Ir. Ts. Dr. Lee Ting Hun ini merupakan usaha yang tersusun dan multidisiplin bagi meningkatkan piawaian makanan kucing komersial di Malaysia.

“Ia adalah dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kualiti nutrisi, jaminan keselamatan produk, serta peningkatan ketelusan sepanjang rantaian nilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara komponen utama penyelidikan termasuk analisis profil nutrisi makanan kucing secara menyeluruh, ujian analitikal lanjutan bagi mengesahkan komposisi bahan, serta pembangunan kaedah yang kukuh.

“Ini termasuklah untuk mengesan pencemaran porcin, sebagai satu aspek penting dalam memastikan pematuhan kepada keperluan halal dan mengekalkan kepercayaan pengguna.

“Penyelidikan ini turut meneroka strategi pengayaan nutrisi serta pengoptimuman formulasi bagi makanan kucing kering dan basah,” tambahnya.

Chew berkata, dengan melabur secara langsung dalam penyelidikan dan bekerjasama rapat dengan UTM, pihaknya dapat memastikan pembangunan produk berasaskan bukti saintifik yang sah serta selari dengan piawaian antarabangsa.

Tambahnya, produk jenama di bawah Global Petcare termasuk Evocat dan Cat Master yang dipertingkat itu akan diedarkan melalui platform runcit sedia ada seperti Cat Supermarket. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast