PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak secara semberono dalam pemberian dokumen pengenalan diri kepada 9,007 penduduk yang terjejas dalam kebakaran besar rumah atas air Kampung Bahagia, Sandakan, Ahad lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menunggu Kerajaan Negeri Sabah melakukan proses pendaftaran mangsa terjejas terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil.
“Dalam proses pendaftaran itu, kalau nantinya kita temui kes-kes umpamanya individu atau anggota yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan tangani perkara itu satu persatu.
“Kita tak boleh buat satu kenyataan umum. Seperti mana biasa, soal pemilikan dokumen peribadi ini sangat penting untuk dimiliki.
“Pada masa yang sama, tak boleh juga sewenang-wenangnya diberikan kepada mereka yang tidak layak memilikinya,” katanya pada sidang media di pejabat KDN hari ini.

Terdahulu, Saifuddin menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Kapal Misi Serbaguna 2 yang ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Sebelum ini, polis mengesahkan seramai 9,007 penduduk terjejas dalam kebakaran besar kira-kira 1,000 rumah atas air Kampung Bahagia, Sandakan, awal pagi pada Ahad lalu.
Sebagai langkah awal, Saifuddin berkata, kerajaan negeri dan kerajaan pusat menggembleng tenaga membantu mangsa kebakaran tersebut dan memberi keutamaan kepada individu-individu yang mempunyai status warganegara.
“Kalau kejadian seperti itu berlaku, menyebabkan dokumen itu hilang, kami akan membolehkan mereka mengadakan dokumen ganti.
“Tapi itu bukan bermakna kita akan pukul borong saja. Semua mangsa layak atau tidak (dapat dokumen pengenalan diri). Kita akan tangani satu persatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















