Sebahagian daripada 154 mangsa penipuan pelaburan koperasi tampil membuat laporan kepada SPRM semalam bersama MHO.

KUALA LUMPUR – Kerugian dianggarkan mencecah RM9 juta membabitkan 154 mangsa dilaporkan melibatkan satu skim pelaburan koperasi di Pahang.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera mengenainya kerana ia kelihatan mengelirukan orang ramai.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya akan membawa mangsa-mangsa terlibat ke Ibu Pejabat SPRM bagi mendesak tindakan tegas diambil.

Gesaan itu dibuat susulan dakwaan wujud unsur penipuan melalui dokumen serta representasi palsu dalam mempromosikan skim berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa ditawarkan pelaburan melalui wakil atau ejen koperasi dengan janji pulangan dividen bulanan tinggi serta gambaran bahawa ia berasaskan aktiviti perniagaan sebenar.

“Penyertaan pula memerlukan mereka menjadi ahli koperasi dan membuat bayaran modal secara terus dengan kepercayaan dana diurus secara sah dan telus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, mangsa turut diperkenalkan kepada satu program tambahan melibatkan pelaburan emas melalui entiti berkaitan kononnya menawarkan keuntungan antara satu hingga tiga peratus bagi setiap kitaran.

Bagaimanapun, Hishamuddin mendakwa kebanyakan mangsa tidak menerima pulangan seperti dijanjikan malah bayaran hanya dibuat pada peringkat awal sebelum dihentikan sepenuhnya tanpa penjelasan.

“Usaha mangsa untuk mendapatkan penjelasan dan menuntut semula modal juga gagal, walaupun tempoh matang pelaburan telah tamat,” dedah beliau.

Tambah beliau, ada mangsa sebelum ini telah membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) namun sehingga kini tiada perkembangan jelas mengenainya.

Sehubungan itu MHO akan memohon agar siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi menyiasat kemungkinan wujudnya pernyataan atau representasi palsu dalam skim berkenaan.

“Mangsa berharap siasatan menyeluruh dapat dilaksanakan demi melindungi kepentingan pelabur serta memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast