KUALA LUMPUR– Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menerusi Op Empis dengan penahanan 19 individu termasuk 12 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan dua wanita warga China berusia antara 24 hingga 48 tahun di sekitar Lembah Klang.
Pengarah JSJN, CP Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan di beberapa lokasi termasuk apartment di Taman Wahyu dan Kepong.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah iaitu ketamin (31.8 kilogram), erimin 5 (4.2 kilogram), pil ekstasi (0.89 kilogram) dan MDMA (6.5 kilogram) dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.1 juta.
“Sindiket ini dikesan berselindung di sebalik perniagaan pengurup wang sebagai helah untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Hussien, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun 2026 dengan menjadikan unit pangsapuri sebagai stor simpanan dan lokasi memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek ke-12 merupakan ketua sindiket, dibantu suspek lain yang berperanan sebagai penjaga stor, penghantar serta rakan sekutu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah, manakala semakan rekod menunjukkan lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut beliau, empat suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tujuh lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan lapan individu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Selain rampasan dadah, JSJN turut menyita pelbagai aset termasuk 18 kenderaan pelbagai jenis seperti Rolls-Royce Cullinan, Porsche Taycan 4S dan Mercedes-Benz AMG, selain barang kemas, jongkong emas, jam tangan mewah, beg tangan dan komputer riba dengan nilai keseluruhan RM11.05 juta,” katanya.
Katanya, wang tunai pelbagai mata wang berjumlah kira-kira RM4.9 juta turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan RM14.15 juta.
“Dadah yang dirampas dipercayai boleh menjejaskan kira-kira 151,000 penagih. PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah,” katanya. – MalaysiaGazette
















