Asisten Komisioner Norhizam Bahaman.

KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki warga asing berusia lingkungan 60-an maut selepas dilanggar dan tersepit di bawah sebuah motolori dalam kemalangan di Jalan Baru, Dengkil, dekat Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima makluman mengenai kemalangan maut melibatkan pejalan kaki dan sebuah motolori jenis Isuzu berwarna putih kira-kira pukul 8.46 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati, lori tersebut sedang bergerak dari arah Air Hitam menghala ke Dengkil sebelum mangsa dipercayai melintas jalan secara mengejut dari arah kanan ke kiri.

“Pemandu lori tidak sempat membrek atau mengelak lalu melanggar mangsa sehingga menyebabkan mangsa terperosok dan tersepit di bawah kenderaan itu.

“Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pembersihan swasta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Norhizam memberitahu, pemandu lori merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat swasta.

Semakan mendapati lelaki itu memiliki lesen memandu yang masih sah.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Norhizam menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Sehubungan kitu beliau menggesa saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-5588221 atau 03-87774264, atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast