Ahli perniagaan, G. Gnanaraja. - Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan menegaskan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang beliau tidak mempunyai motif jahat untuk mengenakan Lim Guan Eng sehingga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa atas pertuduhan rasuah.

Datuk Seri G. Gnanaraja, 45, berkata, tidak munasabah untuk bertindak demikian terhadap Guan Eng kerana Penasihat DAP itu tidak pernah berbuat jahat kepadanya.

Jelas saksi pendakwaan ke-37 (SP37) itu, jika benar dirinya mahir atau berkecenderungan menipu (seperti yang didakwa pembelaan), beliau akan mengaku sudah menyerahkan keempat-empat beg berisi wang kepada Guan Eng.

“Lim Guan Eng bukan musuh saya, beliau tidak pernah buat jahat pada saya. Jadi saya tidak boleh fikirkan sesuatu yang logik untuk mengenakan beliau dalam kes ini.

“Dari awal saya mengaku ambil RM19 juta, kalau saya tak mengaku, itu satu penipuan. Saya juga mengaku apa yang saya beri kepada Guan Eng,” ujarnya.

Gnanaraja menyatakan demikian dalam pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas Ketua Menteri itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir bagi sambung bicara kes berhubung rasuah projek terowong dasar laut ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

Dalam keterangannya, SP37 itu turut menyatakan, beliau tidak menipu ketika menyatakan pemberian wang kepada Guan Eng.

Pada 27 Ogos tahun lalu, Gnanaraja berkata, Guan Eng menerima dua beg hitam masing-masing berisi RM1 juta dalam dua kejadian berbeza.

Menurutnya, pada petang 20 Ogos 2017, ahli perniagaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli menjemputnya di rumah sebelum menghala ke Hotel Wen Worth di Jalan Pudu untuk menjemput Guan Eng yang menginap di situ.

Ujar Gnanaraja, ketika mereka bertiga tiba di sekitar Publika, Hartamas, Zarul Ahmad memberhentikan kereta di tepi jalan dan beliau menyerahkan beg berisi wang kepada Guan Eng.

Katanya, beg kedua diserahkan ketika Guan Eng berkunjung ke rumahnya pada awal pagi 29 Ogos 2017.

Wan Shaharuddin turut menyoal Gnanaraja berhubung insiden beliau menaiki kereta dengan Guan Eng dan menghantarnya ke Publika serta penyerahan beg berisi wang.

Saksi berkata, kejadian itu benar-benar berlaku.

Gnanaraja turut menyatakan beliau tidak menipu berhubung peristiwa Guan Eng berkunjung ke rumahnya pukul 3 pagi.

Wan Shaharuddin kemudian meminta penjelasan apa maksud saksi apabila menyatakan kejadian Guan Eng ke rumahnya pada awal pagi, sebagai tidak masuk akal.

“Maksud saya, tidak masuk akal untuk seseorang berpangkat Ketua Menteri untuk datang ke rumah saya pukul 3 pagi. Walaupun saya ada kawan-kawan menteri, tiada yang datang pukul 3 pagi,” ujarnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 6 dan 7 Mei ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast