MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan tetap diteruskan tahun ini kerana tiada sebarang keperluan untuk menangguhkannya, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, berdasarkan peruntukan perlembagaan, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan berakhir pada hujung Disember ini.
“Apa perlunya ditangguhkan (PRN) kerana menurut perlembagaan, kerajaan negeri ini akan tamat pada penghujung Disember jadi bermula Mei ini hingga Disember, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Saya tak nampak keperluan untuk menangguhkan PRN ini kerana asasnya tidak cukup untuk menyokong cadangan penangguhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pecah tanah projek pembangunan limbungan Enrique of Malacca Shipyard di Kawasan Straits of Malacca Waterfront Economic Zone (SM-WEZ), Klebang di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata akan membawa usul bagi menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Turut senada adalah Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay yang mencadangkan supaya kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat susulan krisis bekalan tenaga.
Sementara itu Ab Rauf berkata projek limbungan kapal bernilai RM180 juta berkenaan merupakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh ekonomi negeri.
“Pojek berimpak tinggi ini dijangka menjana hasil sehingga RM1.8 bilion dalam tempoh 10 tahun serta siap dalam masa dua tahun hasil kerjasama strategik antara SM-WEZ Corporation, Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. dan Desan Shipyard.
“Pembangunan ini akan dilaksanakan di kawasan seluas 42.3 ekar dan dijangka menjadi limbungan kapal terbesar di Melaka, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai Future Maritime City,” tambahnya.
Beliau berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada pembangunan mega Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang merangkumi kira-kira 9,000 ekar kawasan penambakan sepanjang 33 kilometer pesisir pantai.
“Ia dijangka mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus membuka ruang kepada anak tempatan menceburi industri teknologi maritim tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.
“Ini juga akan menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta menarik kepakaran antarabangsa ke dalam ekosistem industri negeri,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan itu bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya sebahagian daripada strategi besar untuk memanfaatkan kedudukan Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan tersibuk dunia.
“Dengan lebih 80,000 kapal melalui setiap tahun, melibatkan hampir 30 peratus perdagangan global, kerajaan negeri yakin projek ini mampu menjadi pemangkin kepada ekosistem ekonomi maritim baharu di Melaka,”katanya. – MalaysiaGazette
















