JOHOR BAHRU – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 3,800 jemaah haji dari Johor yang bakal menunaikan ibadah haji musim ini termasuk 500 yang mengikuti rombongan kerajaan Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mereka akan berlepas menerusi lima penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ke Jeddah pada 7 hingga 9 Mei ini.
“Alhamdulillah bila rezeki Johor ada bertambah sikit, kita ada membuat sedikit Bantuan Kasih Johor. Setiap jemaah akan mendapat bantuan sebanyak RM300.
“Bagi rombongan Kerajaan Negeri Johor, seramai 500 jemaah kita tanggung tambang penerbangan pergi dan balik dengan RM8,000 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perjumpaan Bersama Bakal Haji Rombongan Haji Kerajaan Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, semalam.
Turut disumbangkan, pek makanan dan minuman untuk jemaah haji melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
Onn Hafiz berkata, persediaan dan aspek pengiring jemaah juga dipertingkatkan supaya urusan perjalanan lancar serta teratur.
Beliau turut menyeru bakal jemaah haji untuk mendoakan Johor, agar sentiasa dilindungi dan dilipat ganda rezeki, serta dalam masa sama mendoakan semua jemaah memperoleh ibadah mabrur. – MalaysiaGazette
















