KUALA LUMPUR – Komitmen menjaga keharmonian dan ketenteraman awam tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memperluaskan penggunaan undang-undang sehingga menyempitkan ruang demokrasi serta kebebasan bersuara yang sah.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda menegaskan, Akta Hasutan 1948 tidak boleh dijadikan perisai untuk melindungi mana-mana pihak daripada kritikan, khususnya apabila ia melibatkan isu salah laku, kelemahan dasar atau kegagalan pentadbiran.
“Peningkatan penggunaan akta ini menimbulkan kebimbangan yang wajar dan memberi isyarat yang tidak sihat kepada rakyat.
“Sehubungan itu, saya menggesa agar kerajaan memperkenalkan garis panduan yang jelas, ketat dan terhad dalam penguatkuasaan Akta Hasutan, serta menetapkan dengan tegas bahawa penggunaannya hanya tertumpu kepada isu-isu melibatkan 3R (agama, kaum, raja) yang benar-benar mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tanpa kejelasan ini, akta ini akan terus terdedah kepada ruang salah guna yang luas.
“Saya juga menggesa satu semakan menyeluruh terhadap penggunaan akta ini dilakukan dengan segera melalui Parlimen, agar sebarang ruang penyalahgunaan dapat ditutup dan keyakinan rakyat terhadap institusi dapat dipulihkan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Fadhli Umar, sejarah menunjukkan pendirian tegas menentang penggunaan Akta Hasutan sebagai alat menekan suara rakyat, dan prinsip itu perlu terus dipertahankan.
“Undang-undang tidak boleh digunakan untuk mengekalkan kuasa atau mendiamkan pengkritik. Malaysia memerlukan ruang wacana yang terbuka, matang dan berasaskan fakta bagi memastikan demokrasi terus berkembang dengan sihat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agar suara rakyat didengar serta kebebasan bersuara yang bertanggungjawab kekal terpelihara. – MalaysiaGazette
















