Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Seorang influencer’ lelaki terkenal dari Melaka yang mempunyai hampir 600,000 pengikut disambung reman lima hari lagi bagi membantu siasatan kes kanak-kanak perempuan tiga tahun yang disahkan positif dadah minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pempengaruh berusia 39 tahun itu ditahan selepas kejadian menimpa kanak-kanak berusia tiga tahun itu mula dikesan pada 14 April lalu.

Menurutnya, ia selepas pengadu iaitu pegawai perubatan Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar pada kira-kira jam 5 petang.

“Ujian saringan air kencing terhadap mangsa berusia tiga tahu mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan positif bahan terlarang jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

“Ibu mangsa memaklumkan kepada pihak hospital bahawa kanak-kanak itu sebelum ini berada di bawah jagaan seorang pengasuh iaitu ibu pempengaruh lelaki berkenaan di kawasan Sungai Putat, di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, sebelum punca kejadian terbongkar, mangsa menerima bantuan pernafasan menggunakan tiub di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka pada 11 April.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka telah menahan suspek iaitu pempengaruh lelaki berkenaan kira-kira jam 9.30 malam 15 April.

“Suspek disahkan tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah,” katanya.

Tambahnya, tiada sebarang barang rampasan diperoleh dalam tangkapan berkenaan.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 April hingga 22 April 2026, sebelum tempoh reman disambung selama lima hari lagi bermula 23 April hingga 27 April.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Melaka hari ini dan masih menunggu arahan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast