Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Datuk Hazri Hassan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM136,115. Foto SADIQ SANI, 22 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Datuk Hazri Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM136,115.

Hazri, 57, meminta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT) untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM30,201 untuk dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh berjawatan Ketua Pengarah Jupem dan Pengerusi LJT dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat LJT pada 3 Ogos 2024 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati di sini.

Mesyuarat ketika itu membincangkan penyertaan tertuduh dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM)’ di New York, Amerika Syarika pada 4 hingga 9 Ogos 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Datuk Hazri Hassan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM136,115. Foto SADIQ SANI, 22 APRIL 2026.

Pertuduhan kedua, Hazri didakwa melakukan perbuatan serupa iaitu menggunakan kedudukan selaku Pengerusi LJT untuk
suapan iaitu dana LJT berjumlah RM105,914 untuk dirinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat LJT pada 31 Disember 2024, di sebuah hotel di sini yang ketika itu membincangkan penyertaan tertuduh dalam satu mesyuarat bersama Profesor Dr. Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse yang merupakan Naib Presiden dan Pengarah Penasihat dan Inovasi Woolpert.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya terlibat dalam Mesyuarat Plenary ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu dan Mesyuarat Biro dan Biro Perluasan Jawatankuasa Pakar di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Hazri didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM70,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan ia dijelaskan sebanyak dua kali iaitu RM50,000 pada hari ini dan baki RM20,000 pada Jumaat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk jaminan diberikan sebanyak RM70,000.

Peguam Muhammad Amin Othman bersama-sama Amirah Batrisyia Adam Khan bagaimanapun memohon jaminan dijelaskan sebanyak dua kali iaitu RM50,000 pada hari ini dan RM20,000 pada Jumaat ini.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Ujarnya pihak-pihak turut bersetuju agar pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai. Suzana  membenarkan permohonan tersebut.

Tarikh sebutan ditetapkan pada 4 Jun untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast