KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyuarakan kekesalan terhadap tayangan sebuah program kartun di saluran televisyen tempatan yang didakwa mengandungi unsur berkaitan LGBT, yang menurutnya berlaku secara berulang walaupun sebelum ini telah menerima bantahan.
Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahya berkata, kejadian itu menimbulkan persoalan terhadap tahap tapisan kandungan, khususnya melibatkan program kanak-kanak yang disiarkan di saluran televisyen milik kerajaan.

“Tahun lalu, cerita “Santiago of the Seas” ditayangkan di saluran televisyen yang sama dan kali ini cerita “Cleopatra in the Space” juga menerima bantahan melibatkan unsur LGBT.
“Mengapa pisang boleh berbuah dua kali dalam isu ini serta melibatkan saluran televisyen kerajaan yang sama?
“Apakah Menteri Komunikasi mahupun penerbit rancangan tidak membuat tapisan yang ketat lagi terperinci dalam isu ini?
“Sedangkan kita harus sedar bahawa strategi baharu penyebaran ideologi LGBT secara besar-besaran digerakkan melalui rancangan kartun kanak-kanak,” luahnya dalam kenyataan di laman Facebook semalam.
Menurutnya, perkembangan kandungan hiburan kanak-kanak di peringkat antarabangsa kini memperlihatkan kecenderungan memasukkan elemen tertentu yang perlu diteliti secara berhati-hati sebelum disiarkan kepada penonton di negara ini.
Beliau turut mendakwa terdapat kajian yang menunjukkan watak-watak tertentu dalam kartun kanak-kanak digunakan secara berulang sebagai karakter sokongan bagi membentuk naratif tertentu dalam sesebuah cerita.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya satu penilaian semula serta tapisan lebih ketat dilaksanakan terhadap semua kandungan import, khususnya program kartun, bagi memastikan ia selari dengan sensitiviti masyarakat di Malaysia.
“Ini adalah jarum halus yang tersembunyi untuk menyelit karakter-karakter LGBT. Kita tidak boleh bersikap sambil lewa dan menganggap ia suatu perkara yang remeh.
“Seharusnya kajian dan penelitian berterusan dilakukan bagi memastikan tapisan yang lebih teliti dibuat dalam rancangan kartun khususnya yang “diimport” dari luar,” jelasnya. – MalaysiaGazette















