Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan setakat ini masih belum memuktamadkan sebarang ketetapan berhubung mekanisme pemberian subsidi bersasar melibatkan program BUDI Individu dan BUDI Diesel.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu masih diperincikan di peringkat Kementerian Kewangan bagi memastikan pelaksanaannya kelak berjalan lancar tanpa gangguan teknikal.

Menurutnya, meskipun perkara itu ada disebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun kajian mendalam terhadap kesediaan sistem di peringkat lapangan sedang dilakukan.

“Hari ini ada sedikit perbincangan tapi belum ada kata putus.

“Mekanisme bagi pemberian subsidi secara bersasar melalui program BUDI Individu ataupun BUDI Diesel sedang dilaksana oleh pihak Kementerian Kewangan.

“Kajian tersebut melibatkan mekanisme penyelarasan sistem dan memastikan stesen-stesen minyak yang dimaksudkan mempunyai peralatan atau kesalinghubungan yang mencukupi,” katanya dalam sidang media mingguan hari ini.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil pada dalam sidang media mingguan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai status terkini inisiatif subsidi diesel susulan pelbagai spekulasi mengenai kaedah agihannya.

Mengulas lanjut,  Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan, aspek teknikal di stesen-stesen minyak menjadi antara tumpuan utama kerajaan sebelum sebarang keputusan muktamad diumumkan.

Sehingga kini, ujarnya, Kementerian Kewangan masih di peringkat penelitian akhir bagi memastikan mekanisme tersebut benar-benar siap untuk digunakan oleh golongan yang layak sebaik sahaja ia dikuatkuasakan.

Sementara itu, ditanya mengenai laporan media mengenai penghantaran 200 juta liter diesel ke Australia yang didakwa melibatkan Malaysia, Fahmi berkata, ia bukan menggunakan bekalan diesel milik negara ini.

“Saya ada membaca agensi berita Australia dan semakan melalui pusat arahan komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan agensi berkaitan mengesahkan bahan api berkenaan adalah milik syarikat British Petroleum (BP).

“Syarikat minyak antarabangsa tersebut mempunyai kontrak perdagangan dengan pihak Australia dan hanya menggunakan kemudahan gudang penyimpanan mereka di perairan Malaysia.

“Ia sama seperti kes penghantaran diesel ke Filipina sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kapal yang mengangkut diesel tersebut akan bergerak dari Malaysia, tetapi bekalan itu bukan milik negara ini.

“Pihak Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan BP yang mempunyai gudang di perairan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast