SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor sedang meneroka pelbagai pendekatan bagi menangani isu banjir di negeri ini dengan perincian mengenainya dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jun atau Julai ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan menyegerakan usaha berkenaan, manakala maklumat terperinci akan diumumkan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim selepas semua perancangan dimuktamadkan.
“Kita sedang meneroka semua aspek termasuk kerjasama dengan Belanda dan pihak berkaitan. Sejak 2023 hingga 2024, beberapa pertemuan telah diadakan dengan wakil dari negara itu.
“Bagaimanapun, setakat ini ia masih di peringkat Memorandum Kerjasama dan hanya melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), belum lagi diperluaskan ke peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Showcase Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Sebelum ini, media melaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menasihati kerajaan negeri supaya memberi keutamaan penuh terhadap usaha menangani masalah banjir melalui perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.
Baginda turut bertitah bahawa sebelum ini telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri mendapatkan pandangan serta kepakaran pakar antarabangsa, khususnya dari Belanda, bagi merangka pendekatan terbaik dalam menangani isu banjir yang berlarutan.
Mengulas desakan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) supaya Selangor menguatkuasakan moratorium pembalakan selama 25 tahun yang diumumkan pada 2010, Amirudin berkata langkah itu masih berkuat kuasa.
Beliau berkata sebarang aktiviti penebangan hutan yang dijalankan bukan bersifat komersial, sebaliknya bertujuan pembersihan kawasan bagi memberi laluan kepada projek infrastruktur penting seperti pembinaan lebuh raya dan rangkaian elektrik demi kepentingan rakyat.
— BERNAMA
















