JOHOR BAHRU – Seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah RM18,500 kepada seorang anggota polis, Januari tahun lalu.
Tertuduh, M Dhivan, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia lima dan dua tahun itu secara rasuah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM18,500 kepada Sarjan Koshaziza Idris yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan dan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Perbuatan tersebut sebagai dorongan untuk anggota polis berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh dan rakan-rakannya yang memiliki rekod lampau jenayah dan kesalahan memiliki dadah bawah Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan tertuduh di Kilometer 1.89 Jalan Buloh Kasap-Segamat, Segamat.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam K Nahtan.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah untuk meletakkan jaminan yang maksimum sebagai pengajaran kepada masyarakat umum.
Bagaimanapun, Nahtan dalam rayuannya, memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai penyelia kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan, manakala isterinya tidak bekerja dan mempunyai tanggungan dua anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 selain perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.
Tarikh 5 Jun depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.- MalaysiaGazette.
















