Persatuan Pegawai-Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (PPBAPM) Melaka terus mengukuhkan peranannya menerusi pelbagai program berteraskan kemanusiaan, latihan dan kesiapsiagaan komuniti.

MELAKA – Persatuan Pegawai-Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (PPBAPM) Melaka terus mengukuhkan peranannya menerusi pelbagai program berteraskan kemanusiaan, latihan dan kesiapsiagaan komuniti.

Presidennya, Kolonel Bersekutu (PA) Mike Thein Kim Siang berkata, sejak penubuhannya pada 2023, pihaknya konsisten menganjurkan latihan praktikal meliputi operasi menyelamat di air, komunikasi krisis berkesan, navigasi bot serta kemahiran asas menyelamat nyawa.

Menurut beliau, sebagai antara badan yang aktif menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, pendekatan itu bertujuan melengkapkan masyarakat dengan kemahiran penting dalam menghadapi situasi kecemasan.

“Selain peranan operasi dan kemanusiaan, persatuan ini turut memberi penekanan kepada aspek perpaduan dengan menghimpunkan golongan profesional seperti usahawan, pengamal media dan wakil komuniti dalam satu platform yang inklusif.

“PPBAPM Melaka berhasrat menjadi perintis dalam mempromosikan keharmonian nasional serta memelihara kehidupan yang aman dan sejahtera,” katanya.

Persatuan Pegawai-Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (PPBAPM) Melaka terus mengukuhkan peranannya menerusi pelbagai program berteraskan kemanusiaan, latihan dan kesiapsiagaan komuniti.

Beliau berucap pada Malam Apresiasi Media 2026 dengan kerjasama Grand Swiss-Belhotel Melaka di sini, Sabtu lalu.

Mike berkata, penganjuran malam apresiasi media sulung itu mencerminkan pengiktirafan rasmi PPBAPM Melaka terhadap peranan penting media sebagai rakan strategik dalam pembinaan negara.

“Media memainkan fungsi besar dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta menyokong inisiatif persatuan melalui liputan yang berwibawa dan berimpak tinggi.

“PPBAPM Melaka akan terus memperluaskan penganjuran program inklusif yang menghimpunkan masyarakat berbilang kaum bagi memperkukuh persefahaman, kepercayaan dan perpaduan,” katanya.

Majlis berkenaan turut menghargai sumbangan pengamal media dalam mengetengahkan pelbagai program persatuan, termasuk misi kemanusiaan, sokongan respons kecemasan serta aktiviti libat urus komuniti.

Tambahnya, visi utama PPBAPM Melaka adalah untuk membentuk masyarakat yang berdaya tahan, bersemangat patriotisme dan memiliki tanggungjawab sivik tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast