Tangkap layar video tular berkenaan seorang sukarelawan wanita menyamar sebagai staf HSA yang meminta bayaran deposit wad secara tunai.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang sukarelawan wanita menyamar sebagai staf Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, yang meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa mengeluarkan resit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan.

“Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun dipercayai bekerja sebagai sukarelawan di hospital berkenaan ditahan.

“Ini susulan seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun bekerja sebagai buruh kasar membuat laporan mengenai kejadian berkenaan dan dipercayai suspek meminta deposit sebanyak RM700.

“Suspek ditahan dan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pihak pengurusan HSA dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius isu tersebut yang tular di dalam media sosial.

Menurut kenyataan tersebut, siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan kakitangan hospital.

“Susulan itu, tindakan segera diambil dan wanita terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast