Enam penumpang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. - Foto Ihsan PGA

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini selepas menahan tujuh individu dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Sekatan Jalan Raya Lalang Pepuyu di Kelantan, awal pagi semalam.

PGA dalam satu kenyataan berkata, turut diberkas seorang lelaki warga Myanmar dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang membawa enam PATI berkenaan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dengan upah RM300 bagi setiap individu. 

“Operasi sekitar pukul 4 pagi itu dijalankan selepas anggota mengesan sebuah Perodua Bezza datang dari arah Rantau Panjang menghala ke Panglima Bayu dalam keadaan mencurigakan. 

“Pemeriksaan mendapati pemandu merupakan lelaki warga Myanmar, manakala enam lagi penumpang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan. Turut dirampas sebuah Perodua Bezza serta tiga unit telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,500. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 kerana membawa PATI serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, ujian saringan awal air kencing ke atas tangkapan mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Ujarnya, siasatan awal mendapati pemandu mengaku menerima arahan melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki warga Myanmar yang menetap di Kuala Lumpur dan dipercayai bertindak sebagai ejen penghantaran PATI.

Katanya, suspek mendakwa telah melakukan kegiatan itu antara tiga hingga empat kali sebulan. 

“Pada hari kejadian, kumpulan warga asing tersebut diambil di Kota Bharu untuk dihantar ke Pasar Borong Pudu, Kuala Lumpur manakala seorang lagi ke sekitar Gua Musang. 

“Semakan turut mendapati kenderaan yang digunakan berdaftar atas nama individu lain di Kuala Lumpur. 

“Semua tangkapan telah diserahkan kepada IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut, manakala rondaan dan pemantauan akan terus dipergiat bagi mengekang pemerdagangan manusia, penyeludupan serta jenayah rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast