GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan tindakan tatatertib terhadap 1,429 pegawai dan anggota sepanjang tahun lalu, dengan 134 daripadanya dibuang kerja atas pelbagai kesalahan salah laku.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan yang diambil melibatkan pelbagai bentuk hukuman mengikut tahap kesalahan.
“Daripada 1,429 pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan, seramai 819 diberi amaran, denda (211), lucut hak imbuhan (190), tangguh pergerakan gaji (18), turun gaji (34), turun pangkat (23) dan 134 dibuang kerja.
“Kesalahan yang direkodkan pula melibatkan pelbagai isu termasuk salah laku jenayah, rasuah, syariah, mendatangkan kecederaan dan dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum perdana anjuran Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun jumlah anggota yang terlibat hanya sekitar satu peratus daripada keseluruhan kekuatan PDRM, impaknya tetap besar terhadap imej pasukan keselamatan itu.
“Kalau ikut kita ada lebih kurang 130,000 pegawai dan anggota, yang dikenakan tindakan tatatertib adalah satu peratus.
“Walaupun sebilangan kecil tapi mereka ini yang akan mencemarkan imej dan kejayaan pasukan. Orang ramai akan nampak silap itu saja, habis semua usaha baik polis buat selama ini, oleh itu kita kena ambil tindakan yang tegas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, PDRM mempunyai mekanisme pemantauan dalaman melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), selain saluran aduan luar menerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
“Kita ada JIPS dalam PDRM, kalau masyarakat tidak berpuas hati, mereka boleh rujuk kepada IPCC di bawah KDN,” katanya. – MalaysiaGazette
















