Kesemua lapan suspek dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

BUKIT MERTAJAM – Seramai lapan lelaki termasuk seorang yang cedera dalam pergaduhan di persimpangan lampu isyarat Kampung Paya, Berapit direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap semua suspek berusia antara 20 hingga 47 tahun yang bermula hari ini sehingga 29 April depan itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lapan suspek berkenaan tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi polis serta berpakaian lokap kira-kira jam 8.40 pagi.

Turut kelihatan mangsa berusia 20 tahun dalam keadaan kepala berbalut yang turut digari bersama suspek lain.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam, semalam berlaku pergaduhan antara dua kumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat Kampung Paya, Berapit di sini.

Pergaduhan itu dikatakan tercetus selepas berlaku selisih faham antara dua kumpulan lelaki sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

Insiden bermula apabila beberapa individu dipercayai sengaja melanggar sebuah kereta milik salah seorang lelaki sebelum dia keluar dari kenderaan dan dipukul menggunakan spanar besi sehingga menyebabkan kecederaan pada kepalanya serta bahagian badan.

Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu menyerang seorang lelaki di persimpanan lampu isyarat Kampung Paya, Berapit.

Susulan kejadian itu, lelaki berkenaan dikatakan kembali bersama sekumpulan individu lain untuk membalas serangan.

Difahamkan, bertindak atas maklumat, polis menahan kesemua suspek berkenaan termasuk mangsa dalam beberapa serbuan berasingan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kejadian itu termasuk sebatang spanar besi.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 12 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki melanggar sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum pemandunya keluar dari kenderaan.

Namun, secara tiba-tiba lelaki yang melanggar kereta tersebut bertindak menyerang mangsa menggunakan spanar besi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast