MADINAH – Siti Hadijah Abu Bakar tidak pernah menyangka suatu hari nanti dia diberi peluang menunaikan haji dalam keadaanya yang tidak dapat melihat.
Wanita yang mengalami masalah penglihatan ini sejak lahir ini menyifatkan perjalanannya menjadi duyufurrahman ini merupakan suatu anugerah yang cukup bermakna.
“Memang saya tak sangka langsung lagipun bukannya mudah untuk saya kerana selama ini sayalah menjaga mak yang buta. Tapi, mujur anak pertama dan kedua saya sanggup mengambil tugas saya sementara saya menunaikan haji.
“Inilah rezeki Allah kan. Saya percaya setiap ketentuan yang berlaku pasti ada hikmah tersendiri,” kata wanita berusia 50 tahun ini ketika ditemui di sini.
Siti Hadijah berkata, dia mempunyai lapan adik-beradik dan enam daripadanya juga mengalami masalah penglihatan.
Wanita yang memiliki lima orang anak ini berkata, dia mengalami masalah penglihatan sejak kecil dan makin ketara apabila usia meningkat.
“Ibu saya tidak nampak, tapi ayah saya boleh melihat,” ujarnya yang ditemani rakan baiknya, Nur Asma A. Samat.
Beliau yang juga seorang tukang urut berkata, dia sebenarnya cukup berterima kasih kerana Nur Asma sudi membantunya beribadah.
Katanya, Nur Asma merupakan guru besar anaknya di Akademi Tahfiiz Al- Hidayah, di Jalan Gurney dan hubungan mereka cukup akrab.
“Saya kenal beliau dalam tujuh, lapan tahun lalu. Semasa itu suami kena strok dan saya ada anak-anak kecil. Dialah yang membantu persekolahan anak saya, ‘boy’ sejak dia usia tiga tahun dan sekarang sudah berusia 14 tahun.
“Sahabat saya inilah jadi ‘mata dan telinga’ saya sepanjang menjalankan ibadah di Tanah Suci nanti.
“Tanpa pertolongannya, mungkin saya tidak sampai ke sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih pada Asmah kerana tanpa bantuan dan sokongannya, bukan mudah buat saya,” katanya dengan nada sebak sambil mengalirkan air mata.
Namun, bagi Nur Asma, dia sudah lama berhajat untuk bersama-sama mengerjakan haji bersama Siti Hadijah.
Katanya, sebelum pandemik Covid-19, beliau sudah dua kali membuat rayuan haji.
“Sejak membawa Kak Jah menunaikan umrah pada 2022, saya sudah berniat jika diberi peluang menunaikan haji, saya mahu bawa beliau bersama.
“Dan, rayuan ketiga saya berjaya. Saya sebenarnya menumpang barakah Kak Jah,” katanya. – MalaysiaGazette
















