Tangkap layar sebuah video memaparkan kejadian curi kabel telekomunikasi di Taman Damai Jaya, Skudai, Iskandar Puteri semalam.

ISKANDAR PUTERI – Polis mengesahkan kejadian mencuri kabel syarikat telekomunikasi dianggarkan bernilai RM5,000 di kawasan Taman Damai Jaya, Skudai di sini, seperti yang tular di media sosial, semalam.

Video sepanjang 2 minit 53 saat itu tular di media sosial menunjukkan sebuah pacuan empat roda sedang menjalankan kegiatan itu.

Manakala video kedua berdurasi 53 saat memaparkan seorang individu dipercayai seorang wanita melarikan diri dan dikejar orang awam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pukul 5 pagi semalam daripada seorang saksi lelaki berusia 26 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di tepi jalan dalam kawasan Taman Damai Jaya.

“Turut dirampas di lokasi kejadian tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia yang telah dipotong dengan anggaran panjang keseluruhan kira-kira 15 meter, namun gagal dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri kabel serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kerosakan kepada kemudahan rangkaian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Afiq Izani di talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di 07-5113622 atau talian hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast