Armizan Mohd Ali menurunkan tandatangan semasa lawatan kerja ke Stesen Minyak Shell Taman Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 20,020 pemeriksaan dilaksana di seluruh negara dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac hingga 22 April lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemeriksaan itu menghasilkan 362 kes, manakala seramai 105 individu ditahan.

“Daripada 362 kes tersebut, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi.

“Pecahan kes mengikut jenis barang kawalan yang direkodkan membabitkan 157 kes diesel, 78 kes petrol, 49 kes gas petroleum cecair (LPG), 42 kes minyak masak, 26 kes gula dan 10 kes tepung gandum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa lawatan kerja ke Stesen Minyak Shell Taman Mount Austin di sini, hari ini.

Katanya, bagi penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di Johor bagi tempoh sama, sebanyak 2,227 pemeriksaan dilakukan yang merekodkan 23 kes.

Daripada jumlah kes tersebut, katanya, komoditi diesel merekodkan kes tertinggi iaitu 13 kes, diikuti dua kes melibatkan penyelewengan bahan api petrol.

Sementara itu, tegas beliau, KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data, pemantauan yang lebih rapi serta kerjasama strategik merentas agensi.

“Melalui inisiatif Kita Gempur (Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), KPDN menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu dalam mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my); call centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast