KUALA LUMPUR – Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Chia Wilson selepas menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret bertarikh 15 April lalu.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret hanya mengenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 selama dua tahun terhadap tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, lesen memandu lelaki itu dibatalkan selama dua tahun.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara 14 hari itu bermula serta-merta hari ini, melainkan penangguhan diperoleh daripada Mahkamah Rayuan.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengaku bersalah memandu sebuah kereta jenis Mercedes dengan kandungan alkohol sebanyak 71 miligram dalam 100 mililiter darah, melebihi had dibenarkan iaitu 50 miligram.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Awan Besar dari arah Bukit Jalil menghala ke Puchong kira-kira jam 12.40 tengah malam pada 27 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun serta denda antara RM10,000 hingga RM30,000.
Peruntukan itu turut melibatkan hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Semasa prosiding, peguam Ng Chia How yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret dengan alasan hukuman itu sudah memadai, namun mahkamah memutuskan sebaliknya. – MalaysiaGazette















