Tiga suspek rogol rakan sekolah ditahan polis.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan tiga remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan di Merotai, Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 15 hingga 16 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai di pekarangan Pondok Polis Merotai, kira-kira pukul 6.50 petang.

Menurutnya, tangkapan tersebut dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan polis diterima daripada ibu mangsa kira-kira pukul 4.43 petang hari yang sama.

“Dua lagi rakan suspek turut ditahan kerana dipercayai bersubahat ketika kejadian berlaku, selain mangsa mendakwa dimalukan serta diejek dengan kata-kata tidak senonoh oleh rakan-rakan suspek di sekolah setiap hari.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis memandang serius penglibatan mana-mana individu yang bersubahat dalam jenayah seksual dan tidak akan berkompromi dengan perbuatan keji tersebut,” katanya.

Jelas Jasmin, kejadian terbongkar selepas mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga menceritakan kejadian itu kepada guru kaunseling sekolahnya sebelum dimaklumkan kepada ibu mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Ahad lalu ketika mangsa dibawa oleh suspek yang juga pelajar tingkatan lima menaiki sebuah kereta ke sebuah rumah sebelum mangsa dirogol oleh remaja berkenaan.

Tambahnya, polis akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku bagi memastikan masa depan generasi muda tidak terus rosak oleh perbuatan sebegitu.

Dalam pada itu, Jasmin turut menasihati ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan serta pergaulan anak-anak mereka, terutamanya ketika berada di luar waktu persekolahan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Ibu bapa perlu peka dengan perubahan tingkah laku anak-anak dan mengetahui dengan siapa mereka berkawan.

“Kerjasama erat antara pihak sekolah dan masyarakat amat penting bagi membendung gejala sosial dalam kalangan remaja sebelum ia menjadi lebih parah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast