KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes seorang pegawai tentera yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Maju Expressways (MEX), awal pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal dan menegaskan siasatan perlu dijalankan pihak berkuasa.
“Biarlah polis lakukan siasatan. Saya tidak dapat menentukan betul atau tidak.
“Walaupun individu itu anggota tentera, siasatan tetap perlu dibuat oleh pihak polis,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala seorang wanita senegaranya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di laluan dari Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/04/23/pegawai-tentera-mabuk-sebabkan-nahas-maut-di-lebuh-raya-mex/
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, kejadian kira-kira pukul 5.38 pagi itu melibatkan sebuah MPV Perodua Alza (e-hailing) dan sebuah Ford Fiesta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, Ford Fiesta yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh MPV berkenaan.
Katanya, MPV itu dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun dan sedang bergerak lurus di lorong kiri ketika kejadian, sambil membawa dua penumpang warga Bangladesh berusia 22 dan 20 tahun yang baharu tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Penumpang lelaki maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala penumpang wanita cedera dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau turut memaklumkan ujian pernafasan alkohol mendapati, pemandu Ford Fiesta melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Pemandu terbabit telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette
















